Isnin, 30 November 2009

PELANCARAN KELAB USAHAWAN RISDA SELANGOR SELATAN


Perasmian Kelab Usahawan RISDA Selangor Selatan telah diadakan di Butik Ayu secara tidak langsung merasmikan pembukaan Butik Ayu. Acara ini telah dirasmikan oleh Pengarah RISDA Negeri Selangor, Tuan Nasarudin bin Malek pada 22 Oktober 2009. Kesemua hadirin terdiri daripada peserta-peserta Usahawan RISDA dan orang ramai.

Ahad, 29 November 2009

RISDA MEMBENTUK USAHAWAN PEKEBUN KECIL

Oleh: Nasri bin Rahmat (Majalah Suara RISDA)

Penggantungan pekebun kecil kepada hasil kebun getah atau sawit sahaja tidak boleh menjamin pendapatan mereka mengatasi tahap kemiskinan(RM570.00 sebulan sekeluarga). Oleh yang demikian, adalah menjadi matlamat RISDA untuk membantu lebih ramai pekebun getah dan sawit melibatkan diri dalam bidang perniagaan dan menjadi usahawan walaupun secara kecil-kecilan dahulu untuk menambah pendapatan diri dan keluarga. Pihak kerajaan juga telah mewujudkan berbagai rancangan untuk menggalakkan bumiputera menceburi bidang keusahawanan sebagai persediaan untuk menuju tahun-tahun mendatang. Melihat kepada kepentingan mewujudkan usahawan pekebun getah dan sawit yang maju, mereka perlu didedahkan kepada bimbingan dan latihan untuk menghadapi cabaran masa depan. Justeru itu Bahagian Peningkatan Ekonomi Ibu Pejabat RISDA telah dipertanggungjawabkan untuk membangun usahawan termasuklah mendidik dan membimbing supaya dapat mengurus perusahaan/perniagaan selaras dengan permintaan pasaran ke arah pencapaian matlamat Wawasan 2020. Selain itu usahawan akan diterapkan etika perniagaan yang progresif serta sikap positif bagi membolehkan usahawan pekebun kecil mengamalkan dalam masing-masing. Ini penting kerana sebagai usahawan, seseorang itu harus berkebolehan untuk melihat, mengenal, merebut dan mewujudkan peluangpeluang untuk faedah ekonomi dan keuntungan. Keusahawanan merupakan bidang kerja yang akan mendapat ganjaran keuntungan. Pada tahun-tahun yang ke hadapan ini pekebun kecil tidak boleh lagi berharap yang anak-anak mereka akan bekerja dengan jabatan kerajaan sahaja kerana pihak kerajaan mahupun swasta sedang dalam usaha untuk memperkecilkan saiz kakitangan yang sedia ada akibat kegawatan ekonomi negara. Justeru, arus perubahan yang sedang berlaku di Malaysia hari ini tidak boleh dipandang asing oleh pekebun kecil. Kelambatan kita untuk melibatkan diri akan menyebabkan kita ketinggalan ke belakang. Malah adalah satu kerugian jika masyarakat pekebun kecil masih lagi tidak responsif kepada perkembangan yang sedang berlaku. Namun begitu, RISDA bukan hanya memberi tumpuan terhadap soal memajukan kebun-kebun getah dan sawit juga bertanggungjawab untuk membangunkan pekebun kecil itu sendiri. Bahagian Peningkatan Ekonomi akan berusaha melibatkan usahawan pekebun kecil supaya dapat mencorak kepada industri yang berbentuk komersil dan menguasai peluang pasaran dan berdaya saing. Mereka yang mempunyai potensi menjadi ‘tiang seri’ digalak menjadi pengeluar dan pengedar yang cekap dan berdaya saing. Adalah menjadi harapan bahagian ini supaya para pemimpin pekebun kecil akan dapat menjadikan bidang keusahawanan salah satu agenda penting untuk memajukan diri, keluarga dan kampung mereka masing-masing.